8 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Banjir Terburuk Dalam Sejarah Pulau Pinang

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Pulau Pinang yang dilanda hujan lebat berterusan melebihi 15 jam beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir yang dikatakan terburuk dalam sejarah Pulau Pinang, lapor Sinar Harian. Banyak kawasan menjadi ‘lumpuh’ selepas kebanyakan jalan ditutup serta ratusan rumah dilanda banjir kilat dan lebih menyedihkan, ada yang terkorban di dalam bencana ini.

Sumber: Today Online

Berikut adalah 8 perihal terkini banjir di Pulau Pinang yang perlu anda tahu;

1. Korban banjir telah meningkat kepada 7 orang



Walaupun banyak pihak sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir, beberapa individu telah terkorban dalam kejadian bencana yang melumpuhkan hampir keseluruhan Pulau Pinang itu. Sehingga saat ini, 7 orang telah terkorban dan dua mangsa terbaru telah dijumpai di Jalan Mata Kucing, Air Itam dan Stadium Bandaraya.

Sumber: Free Malaysia Online

Mangsa keenam, Tan Ah Peow, 45, dijumpai oleh jirannya pada jam 2 petang hari ni, manakala mangsa ketujuh yang juga seorang lelaki dijumpai oleh orang awam pada jam 2.40 petang, lapor Free Malaysia Today.

Kedua-dua mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

 

2. Utara Seberang Prai terima amaran hujan lebat peringkat merah

Awal pagi ini (6 November), The Star melaporkan tebing Sungai Muda di utara Seberang Prai melimpah melepasi paras air dan meningkat kepada 5.2 meter. Ini menghalang air banjir daripada surut sekaligus menyebabkan amaran hujan lebat tahap merah dikeluarkan di kawasan tersebut.



 

Sumber: The Star

 

3. Selangor hantar 183 orang Skuad Pantas untuk bantu mangsa banjir

Kerajaan Selangor telah menghantar pasukan bantuan bencana seramai 183 orang ke kawasan yang terjejas dengan banjir di Pulau Pinang atas arahan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali. Pasukan bantuan bencana yang digelar Skuad Pantas ini telah dihantar ke Pulau Pinang atas permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng.

Sumber: Selangor Kini

“Skuad Pantas terdiri daripada 183 pegawai dari 12 pihak berkuasa tempatan. Mereka akan menggunakan 22 buah trak pemacu empat roda, lima buah van, lapan buah lori, dan dua tangki air yang kesemuanya dilengkapkan dengan alatan bantuan pembersihan selepas banjir.” lapor The Star.

 

4. Kerajaan Selangor sumbang RM1 Juta kepada Pulau Pinang

Selain menghantar Skuad Pantas sebagai bantuan khas bencana, kerajaan Selangor turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Pulau Pinang sebagai bantuan pemulihan banjir.



“Ini adalah usaha kecil Selangor membantu Pulau Pinang pada waktu yang sukar begini,” kata Datuk Seri Azmin Ali kepada The Malaysian Insight.

Sumber: The Malaysian Insight

Menurut beliau lagi, kerajaan Selangor akan memberikan sokongan penuh menyediakan bantuan kepada mangsa banjir. Semoga bantuan yang diberikan kerajaan Selangor dapat membantu menyelamatkan lebih ramai mangsa banjir di Pulau Pinang.

 

5. 5 Kemudahan kesihatan terjejas

Berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda, lima buah kemudahan kesihatan di Pulau Pinang telah terjejas. Kemudahan kesihatan yang terjejas adalah Hospital Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Mak Mandin, Klinik Desa Lahar Yooi, Klinik Kesihatan Perai, dan Klinik 1Malaysia Taman Seri Delima, lapor Free Malaysia Today.

Sumber: Facebook

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan akan memastikan perkhidmatan kesihatan perubatan dan kesihatan tetap diteruskan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang terjejas.

 

6. Loji rawatan air rosak dilanda ribut

Minggu ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga menyaksikan tiga loji rawatan airnya rosak teruk dan hampir musnah kerana dilanda ribut kuat. Menurut The Malay Mail, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa impak kemusnahan loji yang disebabkan ribut ini adalah paling teruk dalam sejarah PBAPP.

Sumber: The Malay Mail

 

7. Kapasiti Empangan Air Itam meningkat 10 peratus semalaman  

Hujan lebat dan banjir telah memusnahkan banyak kemudahan sepanjang minggu ini dan kita masih belum pasti bila pengakhirannya. Menurut The Malay Mail, Datuk Jaseni memberitahu bahawa 320mm air hujan telah dicatatkan di Empangan Air Itam dalam tempoh 24 jam, dan kapasiti empangan telah meningkat sebanyak 10 peratus hanya dalam satu malam sahaja!

“Ini adalah rekod catatan baru, lebih tinggi dari rekod sebelumnya 270mm pada 15 September,” kata Datuk Jaseni lagi.

Cuba lihat pemandangan Taman Botani Pulau Pinang yang habis ditenggelami air di bawah:

 

8. Calon SPM yang terjejas kerana banjir boleh menduduki peperiksaan di sekolah berdekatan

Malang tidak berbau bagi calon-calon SPM di Pulau Pinang, hujan lebat dan banjir menimpa sebelum mereka menghadapi peperiksaan penting itu. Tetapi calon-calon SPM tidak perlu bimbang kerana peperiksaan penting ini akan diteruskan juga walaupun badai melanda.

Sumber: New Straits Times

Menurut Pengarah Pendidikan Puala Pinang, Shaari Osman, pelajar yang terjejas dengan banjir boleh menduduki peperiksaan SPM di sekolah-sekolah berdekatan, lapor New Straits Times. “Kami juga akan memastikan calon SPM yang terlibat dengan banjir mendapat bantuan untuk ke pusat peperiksaan masing-masing,” kata Shaari.

Dalam keadaan banjir yang masih belum surut ni, diharap warga Pulau Pinang kekal tabah menghadapi dugaan, sentiasa berhati-hati di mana jua anda merada, dan tidak lupa akan keselamatan diri serta orang tersayang! 

Baca: 9 Tips Menyelamatkan Kereta Daripada Rosak Ditenggelami Air Ketika Bencana Banjir

 

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Asma' Razak

Suka dinosaur tetapi minat filem bergenre futuristik, bercita-cita mahu jadi vegetarian dan berharap ikan diklasifikasikan sebagai tumbuhan.