in

7 Kes Kehilangan dan Pembunuhan Kanak-kanak Yang Pernah Menggemparkan Malaysia

Kes Hilang

Mungkin ramai yang tidak tahu sejak lima tahun lalu, sebanyak 9781 kes kanak-kanak hilang telah dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 2280 lelaki dan 7501 perempuan. Pun begitu, sebanyak 93 peratus daripada statistik ini difahamkan berjaya ditemukan semula dan tujuh peratus lagi sehingga kini tidak diketahui statusnya.

Apa yang terjadi kepada kanak-kanak yang masih belum ditemukan ini? Pernahkah anda terfikir sama ada mereka ini diculik serta dibunuh dan siapakah yang tergamak melakukan perkara terkutuk ini kepada kanak-kanak yang langsung tidak berdosa? Ibu bapa mereka pasti di dalam kesedihan sepanjang meratapi kehilangan cahaya mata yang mereka kasihi.

Berikut kami senaraikan tujuh kes kehilangan kanak-kanak yang pernah menggemparkan Malaysia suatu ketika dulu: 

 

1. Ting Song Seng (1996)

009167960 1
sumber: blog

Sudah 22 tahun berlalu namun kanak-kanak bernama Ting Song Seng ini masih tidak ditemui hingga kini. Semuanya bermula apabila Ting dilaporkan hilang semasa menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rasah, Klang untuk pulang ke rumah pada 15 Januari 1996.

Menurut Utusan Online, sejak daripada itu, pasangan Gan Kim Choo dan Tin Kuwi Diun tidak putus-putus usaha dalam mencari anak mereka termasuklah dengan mengedar hampir 50,000 risalah dan poster. Malah gerakan besar-besaran juga telah diadakan untuk mencari Ting yang melibatkan Pos Malaysia, polis sehinggalah ke negara Thailand.

Namun sehingga kini Ting yang sepatutnya sudah berusia 31 tahun itu masih hilang tidak dijumpai.

 

2. Nurul Huda Abdul Ghani (2004)

Nurulhuda
sumber: blog

Nurul Huda Abdul Ghani merupakan anak bongsu berusia 10 tahun yang sering dipanggil ‘Manja’. Pada 17 Januari 2004, kanak-kanak ini telah menunggang basikal untuk keluar membeli ikan dan telur buat keluarga di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumah.

Namun sehingga jam 12.45 tengah hari, Nurul Huda masih tidak pulang ke rumah hingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga yang lain. Mereka seterusnya membuat laporan polis sehingga membawa kepada penemuan tubuhnya yang sedang nyawa-nyawa ikan di tandas Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat kesihatan.

Jahat
sumber: blog

Pengawal keselamatan TNB, Mohd Abbas Danus Baksan telah didakwa atas kesalahan merogol dan meliwat mangsa. Namun suspek dilaporkan bebas daripada dakwaan membunuh mangsa dan sekaligus menyebabkannya terlepas daripada hukuman gantung.

 

3. Nurin Jazlin Jazimin (2007)

Nurin
sumber: blog

Siapa sangka hayat seorang kanak-kanak yang comel berusia lapan tahun ini berakhir dengan cara yang agak tragis? Nurin dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju untuk membeli klip rambut pada 20 Ogos 2007.

Namun pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan telah ditemui seorang pemilik kedai yang ditinggalkan di hadapan rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Lebih mengejutkan, sekujur mayat bogel kanak-kanak yang tidak dikenali telah disumbat ke dalamnya dalam berkedudukan janin.

Pada mulanya ibu bapa mangsa menyangkal dakwaan bahawa kanak-kanak itu merupakan anaknya. Walau bagaimanapun, ujian DNA telah mengesahkan mayat tersebut sebagai Nurin Jazlin. Meskipun kes ini dihimpit dengan pelbagai kemungkinan, suspek yang melakukannya masih belum tertangkap dan kes ini masih dibuka sehingga kini.

4. Sharlinie Mohd. Nashar (2008)

Cari Sharlinie
sumber: utusan online

Pada 2018 ini, sudah cukup 10 tahun anak perempuan kepada Mohd. Nashar Hussin dan Suraya Ahmad yang dilaporkan hilang. Kanak-kanak perempuan yang berusia lima tahun ini dipercayai telah diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain dengan kakaknya, Sharliena di padang permainan yang kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.

Tanpa sebarang petunjuk yang kukuh, kes Sharlinie sehingga kini menemui jalan buntu. Apa yang hanya diketahui ialah suspeknya kemungkinan seorang lelaki yang berpura-pura mencari kucing di kawasan tersebut. 

Iluminasi Kes Tidak Selesai Malaysia4
sumber: blog

Sehingga Mac tahun lalu, kedua ibu bapa Sharlinie ketika ditemubual media memberitahu bahawa mereka masih berharap Sharlinie akan ditemui dalam keadaan baik walau di mana anak itu berada sekarang.

 

5. Nurul Nadirah Abdullah @ Dirang (2012)

Dirang 1
sumber: blog

Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Dirang, 5, dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Dirang dikatakan telah keluar untuk membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit bawah rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Namun seperti kes kehilangan yang lain, Dirang telah ditemui mati akibat dibunuh dan dibakar pada 8 Mac 2012. Misteri kehilangan Dirang ini terjawab selepas sekujur mayat rentung telah dijumpai dalam lubang tapak perumahan terbengkalai di Damai, Masai dan disahkan identitinya.

Image 1 2
sumber: sinar harian

Lebih menyayat hati, suspek yang berjaya diberkas polis telah dikatakan mencekik Dirang sehingga mati sebelum memasukkan mayat mangsa ke dalam lubang dan membakarnya. Motifnya pula hanya kerana suspek berang dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa. 

Walau bagaimanapun, suspek telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2013 lalu selepas didapati bersalah membunuh Dirang.

 

6. William Yau Zhen Zhon (2013)

17D2
sumber: blog

Dibunuh, mangsa dera ataupun akibat kemalangan? Tiga persoalan ini berlegar-legar di fikiran penyiasat dan masyarakat yang mengikuti kes kehilangan dan kematian kanak-kanak berusia enam tahun, William Yau Zhen Zhon.

William telah dilaporkan hilang selepas keluar dari Kedai Elektronik Onking, Putra Heights, Subang Jaya pada 16 Januari 2013. Namun misteri kehilangannya terjawab apabila mayat seorang budak lelaki telah ditemui pada 24 Januari dekat Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang. 

C019
sumber: blog

Setelah selesai sesi pengecaman dan bedah siasat serta ujian DNA, polis mendedahkan identiti mayat sebagai William yang hilang. Namun apa menjadi tanda tanya ialah kesan hentakan di kepala serta parut lama di badan mangsa yang menjurus kepada penderaan. 

Sehingga kini masih belum diketahui apakah punca kematian mangsa. Adakah kerana didera ibu bapanya, dibunuh ataupun mangsa hanya mengalami kemalangan akibat berjalan bersendirian tanpa pantauan?

 

7. Noor Amila Edrus Norsham (2016)

Mayat Kanak Kanak Dipercayai Noor Amila Edrus Ditemui
sumber: kuala lumpur post

Noor Amila Edrus Norsham, 5, merupakan seorang anak yang pintar. Pantang mendengar bunyi azan, kanak-kanak tersebut akan terus ke surau atau masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. Dia dipercayai hilang pada 11 Ogos 2013 lalu selepas keluar menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak 20 meter dari rumah ibu tirinya di Jinjang. 

Walau bagaimanapun, mayat mangsa akhirnya ditemui pada 18 Ogos kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan semak dekat Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Susulan penemuan mayat tersebut, kes Noor Amila diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Edrus
sumber: mmo

Lebih menyedihkan, suspeknya merupakan suami kepada kakak tiri Noor Amila yang dikatakan telah mengikat kaki dan tangan mangsa dan membuang mayatnya dari atas tebing yang berketinggian 20 meter. Malah difahamkan juga ketika mayat ditemui, kepalanya telah terpisah daripada badan. Motif pembunuhan dikatakan berpunca daripada hutang dan suspek bakal dihukum gantung sampai mati.

Sedih sungguh baca kisah kanak-kanak hilang dan ditemui dalam keadaan yang menyayat hati ini. Diharapkan ahli keluarga mereka tabah menghadapi dugaan yang menimpa dan semoga roh mangsa tenang di sana. 

Baca: 5 Kes Pembunuhan Yang Mengerikan Pernah Menggemparkan Malaysia Suatu Ketika Dulu 

Kes