5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Datuk Wira Dr Maznah Hamid ‘Iron Lady’ Malaysia

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Datuk Wira Dr Maznah Hamid adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia usahawan wanita. Bermula dengan penubuhan syarikat kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia, Securiforce pada 35 tahun lalu, beliau kini telah menjadi figura usahanita yang berjaya dan idola yang disegani masyarakat.

Wanita yang mendapat jolokan sebagai ‘Iron Lady’ ini bakal dikenang sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada dunia perniagaan, masyarakat dan negara. Pemergiannya akibat komplikasi jantung pada 6 petang semalam ditangisi keluarga, sahabat serta pemimpin negara.

Berikut lima perkara yang anda perlu tahu mengenai Datuk Wira Dr Maznah Hamid, ‘Iron Lady’ Negara:



 

1. Buka perniagaan kawalan keselamatan dengan modal RM5,000

Pada tahun 1980, Datuk Maznah Hamid mula mengorak langkah dalam dunia perniagaan dengan membuka sebuah syarikat kawalan keselamatan dengan modal RM5,000.

Sumber: Media Wanita Maya

Katanya, jika seseorang itu ingin berjaya, modal yang besar bukan hal utama tetapi keberanian dan keyakinan diri adalah yang paling penting dalam mengejar impian.

“Pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan keselamatan ini, saya hanya bermodalkan RM5,000 dan lima orang pengawal. Itu adalah duit simpanan saya ketika menjadi guru bahasa dan penterjemah kepada duta asing,” ujar Datuk Maznah dalam sesi temubual di Sinar Harian.

Sumber: Media Wanita Maya

Kini Securiforce telah berkembang seiring teknologi semasa dan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan konsep, ‘Total Security Solution’.



 

2. Tak pernah minta bantuan bank untuk tubuh perniagaan

Hampir 30 tahun yang lepas, Datuk Maznah telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Menurutnya, pelbagai dugaan dan keperitan hidup yang telah dilalui termasuklah pernah mendiami rumah setinggan yang tiada bekalan air dan elektrik.

Sumber: Maznah Hamid

Namun berkat kegigihan dan kesabarannya, Datuk Maznah berjaya menubuhkan Securiforce. Malah dia juga mengakui kesemua anak syarikat yang ditubuhkannya berkembang maju tanpa bantuan kewangan dari mana-mana bank. Macam tak percaya kan?

“Kita mesti sanggup bekerja lebih daripada gaji yang dibayar, maka akhirnya kita akan mendapat lebih dari apa yang kita kerjakan,” katanya.

Itulah prinsip yang dipegang beliau hingga membawa kepada kejayaan besar dalam bidang kerja dan perniagaan seperti sekarang.



 

3. Pernah jadi bill collector, peronda dan pengawal keselamatan

Securiforce bermula dengan menggaji lima orang pengawal keselamatan. Disebabkan kekurangan modal dan peruntukan, Datuk Maznah telah bertindak sebagai pengurus dan pekerja pada masa yang sama.

Akibat kekangan wang modal dan permohonan bank ditolak, Datuk Maznah nekad menjual rumahnya demi mendapatkan suntikan modal bagi Securiforce. Katanya, tempoh 10 tahun pertama menubuhkan Securiforce adalah waktu dia dan suaminya paling menderita.

Sumber: Media Wanita Maya

Datuk Maznah sendiri pernah menjadi pengawal keselamatan di pasaraya dan suaminya pula perlu melakukan rondaan di kawasan rumah pelanggan.

 

4. Ceburi bidang hartanah 

Datuk Maznah kemudian menceburi bidang hartanah dengan menubuhkan syarikat Danau Lumayan Sdn. Bhd. Pada tahun 1997, Danau Lumayan telah menerokai kawasan sekitar Bandar Tun Razak dan membina 3,000 unit kediaman kondominium dan lot kedai.

Sumber: Maznah Hamid

“Pembangunan di kawasan ini mengekalkan keindahan alam semula jadi di kawasan Taman Tasik Permaisuri. Penduduk kawasan ini masih dapat menikmati kehidupan moden di kawasan yang masih hijau dan berhampiran pusat bandar, Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi Datuk Maznah, kita boleh menjual apa sahaja kepada sesiapa sahaja dengan berapa harga sekalipun sekiranya kita berjaya ‘menjual diri kita’. Baginya, diri kita mestilah terjual sebelum produk atau servis.

 

5. Tulis buku dan jadi pakar motivasi

Selama lebih 30 tahun berpengalaman, Datuk Maznah telah menjadi pakar motivasi dan memilih buku sebagai teman semasa senggang. Kebanyakan ilmu yang diperolehnya akan dikongsi dalam seminar yang dihadiri.

Malah kini dia memilih Facebook sebagai laman untuk berkongsi ilmu pengetahuan tentang perniagaan dan motivasi.

“Bagi saya kandungan kata-kata semangat dan kisah kejayaan yang saya paparkan dalam Facebook umpama multivitamin setiap hari untuk minda dan jiwa. Saya akan menjawab apa saja masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan.

“Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, kita perlu sanggup berfikir, bertindak, bekerja dan bersusah-payah secara luar biasa juga, bukan sebagai insan biasa,” katanya.

Sumber: Maznah Hamid

Antara buku yang diterbitkan Datuk Maznah Hamid ialah:

  • Motivasi Memburu Kejayaan (3K) – 1994
  • Motivasi Memburu Kejayaan (edisi Mandarin) – 2004
  • Mini Siri Rahsia 3K (2011)
  • Dialog Jejak Jutawan
  • Falsafah Kejayaan
  • Falsafah Kebahagiaan
  • Falsafah Kekayaan
  • Album Motivasi Muzikal Kolaborasi bersama AL-Farabiband (2011)
  • Transformasi Diri – Menuju Kejayaan & Kebahagiaan (2013)
  • Himpunan Doa Harian (2013)

Memetik kata-katanya buat wanita di zaman moden,

“Jika kita mahu dihormati dan disenangi, wanita perlu bijak letak diri mereka di kedudukan betul.”

Sumber: Wikipedia

Jenzah Allahyarham yang berusia 62 tahun bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur selepas solat Asar pada petang ini.

Kami dari Lobak Merah mengucapkan takziah buat keluarga arwah dan semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Baca: Anda Pasti Tidak Sangka Mengapa Penduduk Kanada Gelar Wanita M’sia Ini ‘Muslim Mother Teresa’

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!