14 Kompilasi Kisah Inspirasi Paling Hebat Tahun 2017

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Tidak lama lagi 2017 bakal melabuhkan tirainya. Kemudian 2018 tiba bersama buku baru yang bakal dipenuhi azam-azam baru untuk dicapai. Namun sebelum tahun ini berakhir, masih ada beberapa perkara yang boleh kita kenang dan ambil semangatnya untuk dibawa ke tahun depan.

Oleh itu, kami senaraikan 14 kompilasi kisah inspirasi supaya anda lebih bersemangat untuk melalui tahun 2018 yang sudah pastinya menanti dengan 1001 cabaran yang bakal mendatang.

 

1. Abang Melayu Suap Warga Emas India Makan



Sumber: Lobak Merah

Awal tahun ini, muncul sebuah video tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki Melayu sedang menyuap warga emas India makan di sebuah medan selera. Ketulusan ‘Abang Melayu’ tersebut telah menerbitkan rasa terharu dalam kalangan netizen terutamanya yang berbangsa India.

Respect abang melayu! Inilah namanya prihatin manusia tanpa kira agama dan bangsa,” kata seorang netizen.

Baca berita penuh di sini.

 

2. Guru Lalui Perjalanan Mencabar Sejauh 135km Demi Didik Orang Asli 

Sumber: Lobak Merah

Pengorbanan yang dilakukan Ahmad Saidin Mohd Idris, 40, terhadap anak muridnya wajar menerima anugerah sebagai guru terbaik bagi tahun ini. Mengajar di sebuah sekolah dekat kawasan pedalaman orang Asli di Kuala Lipis, Ahmad setiap hari perlu meredah jalan berlumpur dan licin sejauh 65 kilometer sejak tiga tahun lalu.



Meskipun pernah terjatuh ke dalam lopak dan terserempak dengan binatang buas beberapa kali, ia tidak mematahkan semangatnya untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik.

Baca berita penuh di sini

 

3. Dua Beradik Cuci Masjid Seluruh Negara, Cadang Ke Singapura pula

Sumber: Lobak Merah

Kalau tahun lepas dua beradik ini sudah mencipta rekod dengan berjalan kaki ke satu semenanjung untuk membersih masjid, kini mereka berdua ingin meneruskan misi amal itu lagi dengan membersihkan masjid di Singapura pula.

Kerja sukarelawan ini diadakan untuk mencari keberkatan pada bulan Ramadan selain mereka berdua juga merancang untuk mengikuti segala program keilmuan dan tadarus al-quran di masjid-masjid yang mereka kunjungi. Syukur Alhamdulillah! 



Baca berita penuh di sini

 

4. Kakak Jual Nasi Lemak RM1 Dapat Sokongan Pembeli

Sumber: Lobak Merah

Seorang netizen bernama Lynn Ahmad secara kebetulan terlihat peniaga wanita bersama tiga orang anaknya dalam kepayahan menjual nasi lemak yang berharga RM1. Tersentuh dengan keadaan peniaga tersebut, dia telah memuat naik sebuah entri di Facebook untuk menggalakkan orang ramai datang membeli di kedai wanita tersebut.

Tak disangka-sangka entrinya tular dan nasi lemak RM1 mendapat sambutan hebat sehingga orang ramai beratur panjang untuk membelinya. Wah tahniah kak! 

Baca berita penuh di sini

 

5. Pemegang Ijazah Jadi Tukang Cuci Lepas Gagal Dapat Kerja

Sumber: Lobak Merah

Siti Nursyazalina Zailani, 26, gagal mendapat kerja selepas tamat pengajian peringkat ijazah dalam kejuruteraan bahan. Putus asa kerana asyik gagal mendapat kerja yang setaraf dengan kelulusannya, dia nekad untuk menjadi tukang cuci sejak setahun yang lalu.

Menurutnya, dia mampu mendapat pendapatan lebih kurang atau lebih daripada lepasan graduan universiti jika dia bekerja 8 jam sehari untuk 5 hari seminggu. Wow!

“Bagi saya kalau nak kerja, tak payah fikir apa orang cakap. Kita tak buat salah pun,” katanya.

Baca berita penuh di sini.

 

6. Wanita Malaysia Digelar ‘Muslim Mother Teresa’

Sumber: Lobak Merah

Sabariah Binti Hussein, 70, telah berpindah ke Kanada 30 tahun lalu. Sejak itu, dia telah mula memasak ke masjid-masjid di Montreal dan bekerjasama dengan dua gereja dalam menyediakan masakan untuk golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan jantina.

Disebabkan sikap mulianya dia telah digelar ‘Muslim Mother Teresa’ oleh penduduk tempatan dan telah diberikan kesempatan untuk bertemu Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. Salutelah! 

Baca berita penuh di sini

 

7. Atlet Hamil 5 Bulan Raih Pingat Sukan SEA

Sumber: Lobak Merah

Quzandria Nur Mahamad Fathil bukan ibu hamil yang biasa-biasa. Ketika sedang mengandung lima bulan, dia telah membuktikan bahawa ibu hamil tidaklah selemah yang disangkakan dan masih boleh menyertai Sukan SEA bagi acara ekuestrian sehingga meraih pingat emas. Wah hebat! 

Meskipun menerima teguran daripada netizen, Quzandria sentiasa yakin dan menganggap kandungannya bukanlah penghalang untuk dia terus mencapai matlamat. You go girl! 

Baca berita penuh di sini

 

8. Gadis Jual Sandwic di Tepi Jalan Ukay Perdana 

Sumber: Lobak Merah

Gadis berhijab yang lengkap memakai apron ini telah menarik perhatian netizen apabila dia dilihat berjalan sendirian sambil membawa sandwic di atas dulang berhias untuk menjual dari sebuah kereta ke sebuah kereta. Tindakannya mendapat pujian daripada netizen yang berbangga dengan usahanya dalam mencari rezeki yang halal.

Malah rata-rata pembeli yang mendapatkan sandwic itu juga mengaku mereka sudah menjadi pelanggan tetapnya kerana memudahkan mereka yang bekerja untuk dapatkan sarapan di waktu pagi.

Baca berita penuh di sini

 

9. Dahulu Atlet Kini Penyanyi OKU

Sumber: Lobak Merah

Siapa sangka wanita ini dahulunya seorang atlet yang pernah membanggakan negara? Nurul Shakina Teh Abdullah, 42, yang berstatus OKU telah menyumbangkan pingat emas dalam acara sukan renang di zaman kegemilangannya. Namun setelah semuanya berlalu, wanita itu kini hanya mengharapkan belas kasihan orang ramai dengan membuat persembahan di kaki lima.

“Akak teringin sangat jumpa Ella,” kata Nurul yang juga meminta ratu rock negara sebagai inspirasi untuknya terus cekal dalam hidup.

Baca berita penuh di sini

 

10. Ridzuan Puzi Atlet Kebanggaan Negara

Sumber: Lobak Merah

Dek Wan atau Ridzuan Puzi adalah antara nama atlet yang sering disebut-sebut pada tahun ini oleh kerana kejayaan dalam merangkul pingat semasa Sukan Paralimpik Rio 2016 lalu. Namun tiada siapa yang tahu kisah duka di sebalik kejayaan lelaki istimewa ini.

Disahkan menghidap cerebral palsy, Dek Wan mengalami kesukaran dalam pergerakan dan percakapan. Dia pernah dipandang rendah kerana tidak tahu mengeja namanya sendiri dan hanya pandai membuat perabot. Namun kini Dek Wan tidak lagi dipandang sebelah mata dan dia berjaya membuatkan lagu ‘Negaraku’ dimainkan di Sukan Paralimpik. Terima kasih Dek Wan! 

Baca berita penuh di sini

 

11. Isteri Setia Bersama Suami Ditimpa Penyakit 

Sumber: Lobak Merah

Meskipun pernah disuruh untuk bercerai, Nurr Hidayah Hassan, 29, tetap setia disisi suaminya, Hamdan Hashim yang menghidap penyakit kulit yang serius. Semuanya bermula apabila suaminya dikatakan telah tersalah makan ubat hingga menyebabkan kulitnya jadi melepuh, berdarah dan penglihatannya rosak.

Walau bagaimanapun, Hamdan kini sudah beransur pulih dan Hidayah berharap hubungan mereka kekal hingga ke akhirnya.

Baca berita penuh di sini

 

12. Sapno Tukijo Bantu Mangsa Banjir

Sumber: BH

Beliaulah hero yang tidak didendangkan semasa kejadian banjir besar yang menimpa Pulau Pinang baru-baru ini. Oleh kerana sikap baiknya dalam menumpangkan mangsa bukan Islam untuk tinggal dalam surau ketika banjir melanda penempatan mereka di Jalan P. Ramlee, nama Sapno menjadi sebutan ramai.

Walaupun mendapat pelbagai kritikan daripada netizen dan golongan agama, ramai yang terkesan dengan niat murni bilal tersebut. Kata salah seorang mangsa, “Hanya Tuhan saja mampu membalas jasa warga Surau Taman Free School.” 

Baca berita penuh di sini

 

13. Kuan Chee Heng Bantu Orang Susah

Sumber: Lobak Merah

Nama Kuan Chee Heng atau lebih senang digelar Mr. Potato ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Terlalu banyak jasa dan sumbangan yang telah diberikannya kepada mereka yang hidup melarat dan memerlukan bantuan.

Antaranya, beliau telah memulakan program rumah RM1 untuk membantu keluarga yang sakit dan mangsa keganasan rumah tangga. Tidak cukup dengan itu, beliau juga telah membantu seorang wanita Melayu untuk membelikan sebuah mesin basuh buat kanak-kanak Cina. Tahniah Mr. Potato kerana telah memberikan semula senyuman buat mereka yang berada dalam kesusahan!

Baca berita penuh di sini

 

14. Pelajar Genius Adnan Zikri

Sumber: Lobak Merah

Bagi yang masih belum mengenali Adnan Zikri, beliau telah menjadi topik perbualan hangat netizen kerana berjaya mengharumkan nama negara dengan menjadi penerima Biasiswa Rhodes, biasiswa paling berprestij dunia.

Tidak hanya bijak daripada segi akademik, Adnan juga seorang yang aktif dalam kokurikulum dan pernah meluangkan masa untuk menjalani pengajian tentang sistem zakat dan penambahbaikkanya di Malaysia. Malah, Adnan juga kini telah dilantik sebagai duta Giving What We Can, sebuah program kebajikan di universitinya.

Baca berita penuh di sini

Adakah anda terinspirasi selepas membaca kisah ini? Terus sebarkan nilai positif untuk semua dan semoga maju jaya di tahun hadapan. Selamat Tahun Baru 2018! 

Baca: 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Datuk Wira Dr Maznah Hamid ‘Iron Lady’ Malaysia

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!